Seorang pemimpin tidak boleh memilih bulu, iaitu bersahabat dengan pekerja baik, cemerlang dan mendengar kata sahaja. Sebaliknya ketua yang baik perlu menyantuni semua pekerja termasuk mereka yang mempunyai pelbagai kesalahan atau ‘pendosa’.
Jika diberi pilihan, pastinya semua ketua mahu memilih dan melayani staf yang mendengar kata dan tidak menimbulkan masalah sahaja, namun ia akan memberi imej yang buruk kepada diri anda.
Seharusnya seorang ketua perlu memegang amanah dan tanggungjawab untuk memimpin semua stafnya tanpa mengira sesiapa pun, walaupun tiada siapa yang boleh menghakimi dan memarahi anda dengan siapa ingin bersahabat.
Begitupun sekiranya, anda memilih untuk melayani dan bersahabat dengan staf baik sahaja pastinya ia akan mengeruhkan lagi keadaan di pejabat, syarikat atau tim anda.
Masalah ini perlu dielakkan sekiranya ia berpunca daripada anda seorang ketua sendiri. Justeru, mahu atau tidak sebagai seorang ketua anda perlu bergaul dan bersahabat dengan semua orang tanpa meminggirkan golongan pendosa.
Sungguhpun anda sudah tahu dan mendengar aduan atau gosip di pejabat mengenai staf yang sering melakukan ‘dosa’, anda tidak boleh biarkan perkara itu menjadi tembok untuk bergaul dan berkomunikasi dengan golongan ini.
Sebaliknya, anda tetap perlu mengambil langkah mendekati mereka seperti staf baik yang lain.
Namun, sebagai seorang ketua pastinya sikap kepimpinan anda mahu membetulkan semula staf yang sering ‘bergelumang dosa’ ini.
Sebagai seorang ketua, sekiranya terdapat peningkatan golongan pendosa bagi mengekangnya, boleh diadakan program kaunseling, jati diri dan sebagainya untuk semua staf. Tebrukti dengan program sebegini dapat memberi dorongan kepada staf bermasalah untuk memperbaiki semula tabiat dan gaya hidup mereka.
Malah hubungan harmoni dalam kalangan staf baik dan ‘pendosa’ dapat dipupuk semula. Selain itu sekiranya staf pendosa ini perlu diberikan hukuman, beri secara senyap. Sama ada menghantar melalui emel dan sebagainya tanpa pengetahuan rakan sekerjanya yang lain.
Begitupun, sebagai seorang ketua anda tetap tidak boleh lokek memberi pujian kepada golongan pendosa ini sekiranya mereka melakukan sesuatu yang bermanfaat atau baik untuk syarikat dan sebagainya.
Ketua yang mempunyai ciri-ciri tidak memilih bulu ini akan sentiasa dihormati oleh semua staf, dan menjadi pendorong untuk mereka berubah menjadi lebih baik.