Burung sebulu terbang bersama, itu fitrah alam. Pendosa pastinya lebih suka berkumpul sesama pendosa. Pendosa ini juga akan lebih mudah mempengaruhi pendosa yang lain untuk teruskan melakukan kesalahan tanpa merasa bersalah. Bagi mereka cukup apabila mempunyai kumpulan sokongan yang mempunyai masalah dan kesalahan yang sama. Jika dibiarkan mungkin akan menyebabkan prestasi kerja menurun, mencalarkan imej syarikat dan memberi masalah kepada pekerja serta organisasi.
Inilah cabaran utama seorang ketua di sebuah jabatan, tim atau organisasi mahu menjadi transformational leader. Bagaimana seorang ketua ini hendak menarik golongan pendosa supaya mereka mahu bersahabat dengan golongan baik-baik. Perkara ini bukan mudah, kerana ia melibatkan mindset golongan pendosa itu sendiri yang mungkin tidak mahu berubah.
Begitupun sebagai seorang ketua, yang perlu memastikan semua staf bekerja dalam keadaan harmoni tanpa menimbulkan pelbagai masalah yang boleh memberi kerugian kepada organisasi, jabatan atau tim perlu melayani mereka dengan adil saksama.
Perasaan tidak suka, jijik atau berat sebelah perlu dibuang jauh-jauh dalam memastikan semua staf terus menyenangi dan menyukai diri seorang ketua. Ketua perlu bijak bergaul dengan golongan pendosa ini.
Contohnya apabila mengadakan majlis, golongan pendosa dan baik dihimpunkan sekali malah duduk dalam satu tim. Kaedah ini dapat membentuk hubungan baik antara staf, malah staf yang baik boleh menjadi pendorong kepada golongan pendosa untuk berubah.
Begitu juga di tempat kerja, ketua boleh memadankan golongan pendosa dengan baik untuk mempengaruhi mereka.
Ketua juga sentiasa memberi peluang kepada golongan pendosa memberi pendapat, dan mendorong mereka untuk mengambil bahagian dalam semua aktiviti syarikat.
Melalui cara ini, golongan pendosa akan memberi tanggapan yang positif kepada ketuanya dan menjadi semakin sayang. Apabila perasaan sayang mula timbul, mudah untuk mereka menerima nasihat dan arahan daripada seorang ketua.