Tips Mengurus Stress Terlebih Beban Fikir di Kalangan Ketua
Teknik 16 : Cara Memerah Dan Mempergunakan Otak Orang-orang Bawahan Bagi Menyelesaikan Masalah
“Letihlah setiap hari ada sahaja masalah yang timbul di pejabat, semua saya yang perlu fikir untuk selesaikannya. Balik rumah jadi sayur layu,” luah Azlina seorang ketua pemasaran sebuah syarikat produk kecantikan yang terletak di utara Tanah Air.
Ada atau tidak cara ketua menyelesaikan masalah anak-anak buah tanpa beliau sendiri perlu memikirkan solusinya? Selalu juga dia bertanya sendirian, kalau-kalau ada cara ringankan beban otaknya itu. Masakan tidak, semua masalah perlu difikirkan sendiri. Derita mental!.
Situasi ini memang sentiasa menjadi topik hangat dalam kalangan ketua di sesebuah syarikat dan jabatan, atau ketua bagi sesebuah tim.
Tidak dinafikan lagi di sesebuah organisasi pasti sentiasa timbulnya masalah. Apabila masalah operasi berlaku dan tidak diselesaikan segera akan menyebabkan berlakunya :
- Penurunan produktiviti akibat kesukaran kerja.
- Pekerja keluar masuk, kos melatih pekerja meningkat.
- Disaman atau dikompaun kerana pengabaian peraturan
- Imej syarikat tercalar.
Inilah tanggungjawab seorang ketua di sesebuah organisasi atau pun jabatan.
“Kepimpinan seseorang itu menentukan jatuh bangunnya setiap sesuatu,” J. Maxwell.
Begitupun, sebagai seorang ketua anda juga boleh mengurangkan bebanan dengan mencari dan menyelesaikan masalah pekerja bersendirian.
Oleh itu, ketua perlu tahu bagaimana seorang ketua boleh membiarkan anak-anak buah selesaikan sendiri masalah mereka tanpa perlu pening kepala memikirkannya.
Seorang ketua perlu yakin kepada anak-anak buah mereka yang mempunyai pelbagai kebolehan untuk menyelesaikan masalah dengan kreatif bersama.
Anda hanya boleh memberi cadangan supaya anak-anak buah berbincang sesama sendiri dengan mengadakan mesyuarat untuk mencari solusi kepada masalah itu.
Beri mereka tempoh yang diperlukan atau tetapkan ‘deadline’ untuk menyelesaikan masalah tersebut. Langkah ini bukanlah menunjukkan seseorang ketua itu tidak tahu menyelesaikan masalah. Langlah ini sebaliknya mengasah daya fikiran dan mengeluarkan potensi diri anak-anak buah yang masih belum digunakan sepenuhnya.
“Bayangkan jika di tempat kerja anda ada lima orang eksekutif pemasaran, pastinya setiap seorang mempunyai idea yang berbeza, lebih kreatif dan berpotensi untuk dilaksanakan,”. Otak ketua seorang tidak mungkin lebih bagus dari hasil kelima-lima orang eksekutif tersebut.
Sebagai ketua minta mereka catatkan hasil perbincangan, dan bentangkan kepada anda dengan segera. Inilah tugas seorang ketua untuk memilih idea yang bernas dan relevan untuk dilaksanakan.
Barulah beban otak ketua menurun. Ketua ada masa untuk memikirkan hal yang lebih penting!. Ketua tidak perlu balik rumah dalam keadaan mental yang rosak.